Halaman Utama


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Ruangan Laman Lagu Dan Filem

Ruangan Laman Lagu Dan Filem
My Sweet heart

My Video Klik


VideoPlaylist
I made this video playlist at myflashfetish.com

Semoga Nik Sentiasa Ceria Bila Mengdengar Lagu Ini..Dan Happy Days With Family N Friends


VideoPlaylist
I made this video playlist at myflashfetish.com

That My Song Specialy To You


VideoPlaylist
I made this video playlist at myflashfetish.com

Digital Al Quran

Radio

Tuesday, July 21, 2009

My Restoran

DARUSSALAM TOMYAM SEAFOOD

LOT 82 JALAN BEROP 35900 TANJUNG MALIM

PERAK DARUL RIDZUAN

BERHAMPIRAN NGN UPSI


Monday, July 20, 2009

Khas Untuk Tatapan Nik



ISRAK MIKRAJ: MENCARI PANDUAN KETAMADUNAN

Peristiwa israk mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam rakaman sejarah kehidupan Nabi SAW Peristiwa ini bukan sahaja penting kepada Nabi SAW semata-mata, malah ianya amat penting sekali kepada seluruh Umat Islam.

Sebagaimana diakui dalam banyak tulisan bahawa: “…Satu-satunya peristiwa yang paling penting berlaku pada tahun terakhir Nabi di Mekah ialah peristiwa israk dan mikraj. Peristiwa ini merupakan satu peristiwa yang paling berkesan dalam kehidupan beragama…”(Seyyed Hossein Nasr, 1994, hlm.16)

Realiti kisah Israk mi’raj ini berlaku pada tahun 621M (Hayat Muhammad,1986, hlm.151). Dalam satu tulisan lain pula menyebut peristiwa ini berlaku pada hari ke 27 dari bulan Rejab. Dalam tulisan Syed Hussein Nasr pula menerangkan bahawa peristiwa ini berlaku pada salah satu malam ganjil dari sepuluh malam penghabisan dalam bulan Ramadhan. (1994, hlm.16)

Kepada Nabi SAW peristiwa ini adalah suatu anugerah tertinggi Allah (SWT)kepada Baginda sebagai Nabi kekasih Allah (SWT), di mana berlakunya pertemuan yang begitu shahdu dan qudus di antara baginda dengan Tuhannya.

Kepada Umat Islam keseluruhannya pula ianya telah mencetuskan banyak pemahaman dan perbincangan. Dalam banyak tulisan, kebanyakannya mempunyai persepsi-persepsi sebagaimana berikut:

Kalangan orang Islam ada yang menolak peristiwa ini kerana dianggap bertentangan dengan akal.
Kalangan orang Islam juga ada yang berhujah masing-masingnya tentang berlakunya peristiwa ini sama ada secara roh sahaja atau secara roh dan jasad.
Kalangan orang Islam pula ramai melihat peristiwa ini penting di dalam membangunkan peraturan sosial Islam seperti larangan riba, mengumpat, perbuatan zina dan lain-lain.
Kalangan Muslim juga ramai yang melihat peristiwa ini dari aspek saintifik yang harus membuka minda masyarakat untuk pembangunan kemajuan umat Islam dan manusia keseluruhannya.

Masalah pertama ialah masalah pemikiran manusia yang menilai benar atau tidaknya peristiwa ini, khayalan atau realiti. Hal ini dapat dilihat contohnya pertama kali Nabi SAW memberitahu kaumnya, ramai yang menafikannya malah mula menghina Nabi. Malah ada kalangan Orang Islam awal yang mula meragui kebenaran Nabi s.a.w. Kalangan masyarakat Islam moden pula ada yang berlandaskan rasional semata-mata seolah menafikan peristiwa ini. Sebagaimana dijelaskan dalam satu tulisan bahawa; Mikraj merupakan peristiwa yang paling payah difahami oleh orang yang terjebak dengan dimensi reality alam fizikal semata mata. Mikraj Nabi SAW pada masa yang sama merupakan satu peristiwa yang paling payah diterima terutama sekali di kalangan generasi muda umat Islam yang sudah terpengaruh sepenuhnya dengan pandangan hidup berasaskan pernyataan sains moden. (Seyyed Hussein Nasr, 1994. hlm.16 & 24)

Sebenarnya kebimbangan orang-orang terdekat dengan Nabi SAW tentang ketidakpercayaan masyarakat tentang kisah mikraj ini apabila diceritakan kepada masyarakat umum ketika itu sudah pun digambarkan dari awal lagi. Contohnya Ibnu Hisham berkata bahawa seperti disampaikan kepadaku dari Ummu Hani binti Abdul Muthalib r.a (nama aslinya Hindun) tentang Isra’ Rasulullah s.a.w. Ummu Hani berkata; “,…setelah Baginda solat subuh baginda berkata “, Wahai ummu Hani’ sungguh aku telah solat isya akhir di lembah ini seperti yang engkau lihat, kemudian aku datang ke Baitul Maqdis dan solat di dalamnya, kemudian aku mengerjakan solat subuh bersama kalian sekarang seperti yang kalian lihat, ….aku (Hindun) berkata kepada baginda, ‘wahai Nabi Allah (SWT)SAW jangan ceritakan peristiwa ini kepada manusia, sebab nanti mereka mendustakanmu dan menyakitimu’. Rasulullah SAW bersabda’ “ Demi Allah (SWT)aku pasti menceritakan peristiwa ini kepada mereka. (Ibn Hisham, Sirah, 2002. hlm.363)

Masalah kedua pula, perselisihan pandangan berlaku mengenai samada peristiwa ini berlaku keatas Nabi secara roh sahaja atau jasad dan roh sekali. Masalah ini tidaklah seburuk masalah pertama yang tidak percaya kepada peristiwa israk dan mikraj ini. Dalam hal kedua ini, mereka mengakui kebenaran berlakunya Isra mikraj, namun berselisih pandangan adakah ianya berlaku secara roh atau mimpi sahaja atau adakah ianya berlaku secara pergerakan dan pengembaraan fizikal iaitu secara jasad dan Roh. Contohnya ; Ibn Ishak berkata bahawa Ya’kub bin Utbah bin al-Mughirah bin al-Akhnas berkata kepadaku jika Muawiyah bin Abu Sufyan ditanya tentang peristiwa isra’ Rasulullah s.a.w maka ia berkata: “sungguh mimpi-mimpi dari Allah (SWT)adalah benar” (Ibn Hisham, 2002, hlm.361). Ini adalah salah satu contoh pandangan awal dalam sejarah Islam bahawa peristiwa ini mengikut satu pandangan berlaku tidak secara jasad tetapi secara roh sahaja.

Walau bagaimanapun tindakbalas dan reaksi manusia Islam terhadap peristiwa ini yang penting sekali adalah ianya suaTu reality yang benar-benar berlaku dan termaktub di dalam al-Quran:surah al-Isra’ ayat 1. yang bermaksud: Maha suci Allah (SWT)yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah (SWT)jualah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. (surah al-Isra. 17:1)

Ibn Ishak dalam menyatakan mengenai periwayat-periwayat hadis israk dan mikraj bahawa; ….“mereka semua meriwayatkan dari Rasulullah SAW sebahagian dari apa yang beliau sebutkan tentang peristiwa israk yang beliau alami, . Sungguh pada peristiwa israk yang beliau jalani dan apa yang beliau sebutkan di dalamnya terdapat tujuan, seleksi dan salah satu bukti kekuasaan Allah (SWT). Di dalamnya juga terdapat pelajaran bagi orang-orang berakal,, petunjuk, rahmat pengukuhan bagi orang yang beriman kepada Allah (SWT)dan membenarkannya. Sungguh peristiwa isra’ adalah salah satu bukti kekuasaan Allah (SWT). Allah (SWT)SWT mengisra’kan baginda seperti yang di kehendaki-Nya untuk memperlihatkan ayat-ayat-Nya kepada yang Dia inginkan, hingga beliau boleh menyaksikan bukti-bukti kekuasaannya dan kemampuannya mengerjakan apa sahaja yang diingininya. (IH, 358)

Oleh itu dalam membincangkan kalangan Muslim ketiga dan keempat adalah mereka yang percaya akan peristiwa ini dan seterusnya mengambil pengajaran besar dari kisah perjalanan Nabi SAW ini. Hasil dari peristiwa inilah sebenarnya umat Islam boleh jadikan sebagai salah satu panduan di dalam pembentukan ketamadunan umat Islam sendiri. Panduan ketamadunan itu sama ada dari segi peradabannya dan juga tamadun kebendaan dan keilmuannya.

Dari segi panduan peradaban, pengajaran dari peristiwa ini banyak menyumbang kepada sistem kemasyarakatan sehingga tidak dapat dinafikan lagi. Sebagaimana disebut dalam sirah Ibn Hisham bahawa, Keburukan-keburukan seperti keburukan orang yang memakan harta anak yatim, orang yang memakan harta riba, laki-laki penzina, wanita-wanita penzina dan sebagainya (Ibn Hisham, 2002 hlm.367). Gambaran balasan kejahatan ini, jika difahami akan menyedarkan kita mengenai keburukan dan siksaan perbuatan ini. Menghindari kejahatan seperti ini akan memberikan keharmonian kepada sesuatu bangsa itu dan secara langsung dapat membina peradaban bangsa berkenaan.

Dalam satu tulisan menyebut bahawa, pengalaman rohani yang utama hasil peristiwa israk mikraj ini merupakan contoh perjalanan rohani dan ibarat kiasan kepada kehidupan spiritual umat Islam umumnya. Malam pengembaraan “laylat al-Mi’raj ialah cermin kepada malam qadar (laylat al-qadr). ..Pengalaman Nabi dalam peristiwa mikraj ini menjadi inspirasi kepada ramai penulis Islam termasuklah pengaruhnya dalam karya-karya Ibn Arabi dan Sana’i yang kemudiannya mempengaruhi penulis dan kesusasteraan Eropah terutamanya Dante seperti yang dapat dilihat dalam karyanya Divine comedy. Peristiwa mikraj ini juga menjadi sumber ilham para wali dan ahli mistik Islam dari satu generasi ke satu generasi dan juga menggariskan asas kosmos Islam (Seyyed Hussein Nasr, 1994, hlm.17)

Namun begitu sebenarnya, Apa yang perlu dan penting sekali bagi umat Islam perpanjangkan kisah realiti ini ialah pengaplikasiannya dan pengadaptasian pengetahuan hasil anugerah terhadap Nabi SAW ini dalam aspek sains dan teknologi, sains angkasa, kosmologi dan sebagainya yang akhirnya boleh menyumbang kepada kemajuan tamadun Manusia. Sekadar menyebut beberapa contoh sahaja sebagaimana di bawah.

Burak; adalah suatu perlambangan kenderaan terpantas meneroka angkasa lepas. Orang Barat menggunakan kenderaan angkasa untuk meneroka planet Marikh contohnya. mengambi masa beberapa tahun untuk pergi dan kembali.
Masa; masa di sisi Tuhan adalah panjang berbanding masa dunia. Rasulullah SAW meneroka 7 lapisan langit hingga menemui Tuhannya dalam masa satu malam sahaja.
Alam; adalah ‘ma siwallah-apa atau sesuatu selain Allah
(SWT)’ keluasannya tidak terkira. …..ketika baginda melihat dengan mata batin dari sidrat al-muntaha ke alam ini. (Husein Haikal, 1989, hlm.157). Hal ini sudah pasti pada masa itu boleh melihat keseluruhan bumi ini yang bulat bentuknya.
Aspek-aspek sains dan teknologi serta keilmuan lain seperti aspek perubatan, kisah-kisah masa depan, hirarki sesebuah kerajaan dan sebagainya

Cukuplah sekadar membayangkan beberapa contoh sahaja panduan ketamadunan hasil dari reality peristiwa israk dan mikraj ini kepada kemajuan ilmu serta sains dan teknologi. Sebenarnya banyak lagi panduan ketamadunan yang boleh diambil dari kisah isra dan mikraj ini dalam banyak aspek ilmu pengetahuan. Kalau kita meneliti banyak pembikinan filem Hollywood sebagai contoh lain, sebenarnya jika diselidiki akan menyerlahkan suatu pengadaptasian dari kisah isra’ dan mikraj ini. Orang Barat juga begitu maju dalam bidang sains angkasa, sedangkan cetusan mengenai sains angkasa dan penerokaan angkasa lepas itu telah dicetuskan sedemikian lama oleh baginda SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Sebagai kesimpulannya peristiwa Isra Mikraj adalah suatu kejadian yang benar-benar berlaku dalam sejarah kehidupan Nabi SAW yang menjadi suatu anugerah kebesaran baginda SAW sebagai kekasih Allah (SWT)dan nabi Akhir zaman. Peristiwa ini banyak mendatangkan kesan kepada kehidupan beribadat, bermasyarakat dan kehidupan keilmuan umat Islam dan manusia keseluruhannya. Dalam kehidupan beribadat Solat contohnya adalah ibadat terpenting yang diterima oleh baginda SAW secara terus dari Allah (SWT)SWT.. Dalam kehidupan bermasyarakat pula. Segala peristiwa yang disaksikan oleh Nabi SAW mengenai keburukan mengumpat, riba, perbuatan zina dan sebagainya adalah mampu membentuk masyarakat berperadaban dan berharmoni. Akhir sekali peristiwa ini banyak mencetuskan dan membuka jalan kearah penerokaan pelbagai ilmu sains dan teknologi seperti kemajuan sains angkasa dan seterusnya menjadi panduan kepada ketamadunan manusia.

Wallahu a’lam

Saturday, July 11, 2009

Gambar Kenangan



Ciri-Ciri Manusia Unggul

Pendahuluan

Manusia unggul adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang sebenarnya menurut kehendak Al-Quran dan as-Sunnah dalam seluruh aspek kehidupan. Bagi mewujudkan manusia unggul, seseorang itu hendaklah memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu keimanan yang utuh, amal ibadat yang meliputi ibadat khususiah dan fardhu kifayah dan akhlak mulia yang merupakan cermin keimanan dan amal salih.

1. Keimanan Yang Utuh

Keimanan kepada Allah (SWT)swt adalah paksi pembinaan negara dan ummah. Dengan keimanan itu akan lahirlah individu yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah demi kebaikan dunia dan akhirat. Allah (SWT)swt berfirman dalam surah al-Asr:
‘ Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal salih yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran’.
( Surah al-Asr : 1-3 )
lam ayat ini Allah (SWT)swt menjelaskan bahawa manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman dan beramal salih.
Beriman kepada Allah (SWT)adalah proses peralihan jiwa manuisa daripada menganggap dirinya bebas daripada sebarang kuasa dan ikatan serta tanggungjawab kepada ketundukan mengaku tanpa syarat bahawa tiada ýTuhan melainkan Allah (SWT)dan Muhammad itu Rasulullah. Iman merangkumi tiga unsur utama, pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang jitu dan keyakinan yang teguh. Ketiga-tiga unsur ini akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi tonggak kekuatan ruhaniyah yang cukup kental untuk membina jiwa dan jasmani manusia. Keteguhan iman juga merupakan penghalang daripada melakukan kejahatan dan maksiat.

2. Pelaksanaan Amal Ibadat

Keimanan tanpa ketaatan melalui amal ibadat adalah sia-sia. Seseorang yang berperibadi unggul akan tergambar jelas keimanannya melalui amal perbuatan dalam kehidupan sehariannya. Bahkan jika dikaji tujuan Allah (SWT)menjadikan manusia itu sendiri ialah supaya beribadat kepada-Nya. Firman Allah (SWT)swt :
‘ Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat’.
( Surah az-Zariat : 56 )

Ibadat adalah bukti ketundukan seseorang hamba setelah mengaku beriman kepada Tuhannya. Ibadat yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadat khususiah yang menyentuh fardhu ain dan juga fardhu kifayah yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia.
Justeru itu, bagi individu yang berperibadi unggul, seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta ataupun masyarakat adalah dianggap ibadat. Allah (SWT)swt berfirman:
‘ Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya, orang yang menjauhkan dirinya (dari perbuatan) yang tidak berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang yang menjaga kehormatannya kecuali terhadap isteri-isterinya atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela’.
( Surah al-Mukminun : 1-6 )

3. Akhlak Mulia

Akhlak mulia bagi peribadi unggul adalah hasil keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut.
Sekiranya nilai yang diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam. Rasulullah saw adalah contoh utama pembentukan akhlak. Dalam sebuah hadith, baginda saw bersabda,
‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’.
( Riwayat Ahmad )

Beberapa nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:

a) Amanah

Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh kepada keadilan. Firman Allah (SWT)swt:
‘ Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan itu akan amanahnya dan bertaqwalah kepada Allah (SWT), Tuhannya’.
( Surah al-Baqarah : 283 )

b) Ikhlas

Ikhlas adalah inti setiap ibadah dan perbuatan. Firman Allah (SWT)swt:
‘ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah (SWT)dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya ‘.
( Surah al-Bayyinah : 5 )

Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang mengamalkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
‘ Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang-orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayat. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim’.
( Riwayat Imam al-Baihaqi )

c) Tekun

Islam menggalakkkan umatnya supaya tekun apabila melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sabda Rasulullah saw,
‘ Sesungguhnya Allah (SWT)swt menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun’.
( Riwayat Abu daud )

Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat.

d) Berdisiplin

Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu kerja akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai denga lebih cepat lagi.
Dengan berdisiplin seseorang itu akan dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.

e) Bersyukur

Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan: pertama; sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Pencipta sama ada sedikit atau banyak, kedua; bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah (SWT)swt supaya kebajikan sentiasa dibalas dengan kebajikan. Allah (SWT)swt berfirman:
‘ Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras’.
( Surah Ibrahim : 7 )

f) sabar
Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi unggul seperti yang dikehendaki Allah (SWT)swt. Firman Allah (SWT)swt :
‘ Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekiuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah (SWT)supaya kamu berjaya’.
(Surah Ali Imran : 200)

g) Adil

Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

‘Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut kepada Allah (SWT)ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah dan berjimat cermat ketika susah dan senang; dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri’.
(Riwayat Abu Syeikh)

Kesan Manusia Beruntung Dalam Kehidupan

Seorang manusia yang memiliki sifat-sifat unggul adalah sangat beruntung kerana ia mampu mengemudi hidupnya dengan sempurna. Kondisi ini membuatkan ia dapat berperanan dengan baik kepada dirinya dan alam sekeliling.

Kesan Kepada Diri Sendiri

Manusia unggul akan berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya dan sentiasa dapat memenuhi tuntutan-tuntutan rohani dan jasmaninya dengan terkawal. Aspek-aspek rohani dan jasmani manuisa yang terdiri daripada empat perkara asas iaitu akal fikiran, roh, jasad dan syahwat akan dapat dididik dan dipandu berdasarkan fitrah sebenar berdasarkan fungsi kejadian manusia itu sendiri sebagai makhluk istimewa dan khalifah Allah (SWT)yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi ini.

Akal fikiran yang diciptakan Allah (SWT)swt merupakan mahkota berharga yang menampilkan imej manusia. Ia berkeupayaan menerima ilmu, berfikir, membezakan yang baik dan buruk, boleh diajar dan dididik serta boleh menyampaikannya kepada orang lain. Melalui akal, seseorang itu mendapat hidayah dan petunjuk Allah (SWT)swt menerusi pemerhatian dan penghayatan terhadap kejadian-kejadian alam dan ajaran-ajaran yang disampaikan oleh orang lain.

Al-Quran menggesa manusia supaya menggunakan akal fikiran, memerhati dan mengkaji kejadian-kejadian alam ini. Pemerhatian dan pengkajian ini mempunyai faedah yang sangat besar iaitu memenuhi dan mempertingkatkan kemajuan hidup yang kemudiannnya akan menemui hakikat kebesaran Allah (SWT)swt sebagai Pencipta yang Maha Agung. Dengan itu ia selaku makhluk yang mempunyai daya akal dan keupayaan akan tunduk patuh kepada kekuasaan Allah (SWT)swt dengan penuh kesedaran dan akan melaksanakan kehidupan ini dalam situasi yang betul dan menuju keredhaan Allah (SWT)swt.

Roh dan nyawa adalah komponen utama manusia. Adalah terlalu sulit untuk diperkatakan kerana ia sebenarnya urusan Allah (SWT)swt. Walaupun demikian ia amat mustahak kerana dengannya mausia boleh hidup, bernafas, mendenyutkan nadi, memberikan dorongan dan kekuatan perasaan.

Satu lagi komponen manusia ialah jasad yang merangkumi kulit, daging, otot, urat, darah, tulang, anggota pancaindera dan lain-lain. Masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dan meyempurnakan antara satu sama lain iaitu sesuai dengan kejadian manusia yang dijadikan Allah (SWT)swt sebagai sebaik-baik kejadian. Seseorang yang terdidik dengan nilai-nilai unggul, jasadnya akan bergerak di atas panduan yang betul. Dia akan menggunakan kudratnya melakukan kerja-kerja yang baik, rehat dan tidur dengan seimbangnya, memakan makanan yang bersih dan halal, menjaga kesihatan diri, mengguna dan memelihara pancaindera dari sebarang kemudharatan, dosa dan sebagainya. Ini sesuai dengan firman Allah (SWT)swt:
‘ … dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan’.
( Surah al-Baqarah : 195 )

Jelasnya jasad perlu dijaga supaya tidak terdedah kepada kebinasaan, penyakit dan sebarang kecacatan kerana kesempurnaan jasad turut membantu keunggulan hidup seseorang.

Unsur seterusnya yang dikurniakan kepada manusia ialah nafsu syahwat. Imam al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar, bermakna ia sesuatu yang sukar dikawal. Sekiranya nafsu dapat dididk dan dikawal, ia akan menjadi jinak dan tunduk menurut segala kemahuan diri manusia. Tetapi sekiranya ia tidak dididik dan dikawal, dengan mudah ia menjadi raja kepada diri seseorang untuk melakukan apa sahaja kemahuan yang lebih cenderung kepada keburukan. Firman Allah (SWT)swt ;
‘ Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu)’.
( Surah Yusuf : 53 )

Bagi menenuhi keinginan syahwat ini, Islam membenarkan perkahwinan. Dengan demikian umat manuisa akan membiak dan berkembang dengan cara yang betul di samping sebagai salah satu pengecapan kurniaan nikmat Allah (SWT)swt dalam hidup berkeluarga.

Jelasnya, kejayaan atau kegagalan seseorang itu melaksanakan tanggungjawab, khususnya kepada diri sendiri adalah bergantung kepada berjaya atau gagalnya ia memenuhi tuntutan keempat-empat perkara tersebut. Aspek-aspek ini adalah asas pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Kesan Kepada Keluarga

Seseorang insan yang unggul akan mudah mengatur urusan hidup keluarganya. Ia dapat merencanakan soal-soal penddikan, saraan, pergaulan dan pembangunan keluarganya dengan tarbiah Islamiah. Ia dapat menjalankan tugasnya sebagai ra’i atau ketua keluarga dan dalam masa yang sama sebagai abid atau hamba Allah (SWT)yang sentiasa menjaga hubungannnya dengan Allah (SWT)swt.

Dalam sesebuah keluarga, aspek-aspek kesihatan fizikal adalah sangat perlu. Ini kerana kesejahteraan pemikiran dan kerohanian seseorang bergantung rapat kepada kesejahteraan fizikal. Seseorang mukmin yang kuat adalah lebih baik daripada yang lemah. Minda yang sihat akan lahir dari tubuh badan yang sihat. Oleh itu, tarbiah jasmaniah seperti yang dituntut oleh syarak perlulah dilaksanakan dalam keadaan yang teratur. Umpamanya dalam pemilihan makanan mestilah yang bersih, baik dan dari sumber yang halal. Amalan buruk yang boleh memudaratkan badan seperti merokok, meminum minuman keras, menyalahgunakan dadah dan sebagainya, hendaklah dijauhi. Sekiranya ketentuan ini tidak dipatuhi, kesihatan jasmani akan terjejas dan boleh memberi kesan buruk kepada mental, fizikal dan spiritual.

Pendidikan rohani pula adalah aspek yang penting. Ia merangkumi keimanan, pengamalan syariat, pelaksanaan tanggungjawab sebagai seorang muslim serta pembangunan mental dan spiritual. Seorang ketua keluarga bertanggungjawab membentuk dan mendidik keluarganya mengamalkan tuntutan-tuntutan yang dikehendaki oleh Islam. Dalam masa yang sama menjauhi perkara-perkara yang haram dan makruh. Ia juga mestilah memastikan ketulenan akidah keluarganya dan membersihkannya dari sebarang bentuk kekufuran dan kesyirikan serta mengikis jiwa dari kekotoran dan penyakit melalui amalan dan latihan yang mantap serta berterusan. Firman Allah (SWT)swt:
‘Sesungguhnya berjayalah orang yang ( setelah menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal soleh) dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang ( dengan khusyuk)’.
( Surah al-A’la : 14-15 )

Seperti yang telah dinyatakan akal fikiran sangat berharga bagi manuisa. Islam juga menuntut umatnya supaya menggunakan akal fikiran dengan betul. Islam menyuruh manusia supaya menuntut ilmu yang bermanfaat dan ilmu itu pula hendaklah disebarkan melalui proses pengajaran dan pengembangan.

Seiring dengan kekuatan pemikiran, pendidikan akhlak adalah amat mustahak. Seseorang ketua yang unggul adalah model yang berkesan dalam pendidikan akhlak keluarganya. Ia perlu membimbing ahli keluarganya dengan akhlak Islamiah berdasarkan ilmu dan pengalaman yang ada padanya. Kegagalan sesetengah keluarga untuk mengamalkan akhlak Islamiah kebanyakannya berpunca daripada kegagalan ketua keluarga atau ibu bapa masing-masing yang tidak mengamalkan nilai-nilai murni seperti yang ditetapkan oleh Islam. Sebab itulah ibu bapa perlu membentuk keunggulan diri mereka terlebih dahulu sebelum amalan itu dapat diperturunkan kepada anak-anak mereka.

Seorang ketua keluarga juga dapat mengatur soal kehidupan ekonomi dan sosial keluarganya berpandukan nilai-nilai yang baik. Ia akan mempunyai rasa tanggungjawab untuk mempertingkatkan taraf hidup keluarganya dengan mengamalkan sikap bersungguh-sungguh dalam kerjaya. Ia berkeyakinan bahawa kesungguhan bekerja adalah suruhan agama yang perlu ditunaikan. Dengan demikian ia akan membawa keluarganya keluar dari ruang lingkup kemiskinan yang menjadi salah satu musuh Islam yang boleh membawa kepada kekufuran seperti sabda Rasulullah saw :
‘ Hampir-hampr kefakiran itu membawa kepada kekufuran’.
( Riwayat Abu Naim )

Kesan Kepada Masyarakat, Negara Dan Ummah

Seseorang insan yang unggul akan memastikan hubungan kemasyarakatan dan keluarganya berada dalam satu ikatan yang jitu. Prinsip-prinsip hubungan kejiranan dan masyarakat di sekitarnya akan diasaskan kepada panduan-panduan yang digariskan oleh Islam. Firman Allah (SWT)swt:
‘ Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (SWT)(agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai ..’.
( Surah Ali Imran : 103 )
‘ Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah (SWT)dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki’.
( Surah an-Nisa’ : 36 )

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
‘ Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain’.
( Riwayat at-Tabarani )

Setiap kelompok masyarakat perlu memberi perhatian berat kepada bidang penddikan. Insan yang beruntung dalam sesebuah masyarakat akan memudahkan usaha dan perancangan untuk meningkatkan kualiti masyarakat melalui aktiviti pendididkan, pengajian dan muamalat.

Penghayatan agama juga sangat mustahak. Merekalah yang akan mengembangkan penghayatan ajaran Islam melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah melalui cara-cara yang formal atau tidak formal. Susasana ini bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan berdisiplin, tetapi juga akan menampakkan masyarakat yang mempunyai imej yang tinggi serta mendapat keberkatan daripada Allah (SWT)swt.

Seperti yang diketahui, ketrampilan seseorang individu atau masyarakat dengan ilmu agama semata-mata tanpa ilmu duniawi adalah sesuatu yang tidak sempurna. Dalam ertikata lain, seseorang muslim perlu mendapatkan pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi dalam ilmu selain ilmu agama yang menjadi keperluan asasi. Ia meliputi ilmu ekonomi, politik dan sosial yang perlu diketahui sebagai alat untuk meletakkan diri masing-masing dalam arus perdana kehidupan bermasyarakat dan beragama. Dengan sebab itu bidang ekonomi, politik dan sosial mesti diketahui dan dicenburi secara bersungguh-sungguh sekurang-kurangnya pada tahap yang paling asas. Bidang-bidang ini merupakan urusan hidup yang menjadi sebahagian penting yang dikehendaki oleh ajaran Islam seperti yang dijelaskan dalam firman Allah (SWT)swt:
‘Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah (SWT)kepadamu (pahala dan kebahagiaan) hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu ( keperluan dan bekalanmu ) dari dunia’.
( Surah al-Qasas : 77 )

Selain bidang sosial dan ekonomi, bidang poltik juga menjadi perkara yang penting dalam sesebuah masyarakat. Kestabilan politik sesebuah negara adalah berpunca daripada keunggulan dan kekuatan yang ada pada diri setiap individu, yang kemudiannya membentuk satu ikatan warganegara yang kukuh.

Apabila sesebuah masyarakat itu kukuh, akan lahir pula tokoh-tokoh berwibawa yang boleh diharap menjadi pemimpin bagi setiap kelompok masyarakat. Pemimpin ini pula perlu mempunyai ilmu, kemahiran dan sifat-sifat unggul sebagai pemimpin. Dia perlu diberi kepercayaan dan sokongan supaya masyarakat dan negara dapat dibawa kepada pencapaian matlamat kemakmuran hidup dan keredhaan Allah (SWT)swt seperti yang dapat difahami daripada kisah negeri Saba’ ( Yaman Tua ) yang diceritakan di dalam al-Quran :
‘ Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah (SWT)) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun ( yang luas lagi subur) yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka) : ‘Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya , (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Amat Pengampun’.
( Surah saba’ : 15 ).

Dalam konteks kepentingan sejagat pula seseorang insan yang unggul akan mampu memimpin ummah di peringkat yang lebih luas. Kejayaan memimpin negara akan diikuti oleh negara lain sebagai model. Pemimpin yang berwibawa di arena antarabangsa ini diperintahkaan oleh Islam supaya memberikan sumbangan untuk kesejahteraan ummah. Dengan itu tercapailah fungsi manusia sebagai khalifah Allah (SWT)swt di atas muka bumi ini.

Penutup

Demikianlah antara kesan-kesan yang dapat dilahirkan oleh insan yang umggul dalam kehidupannya sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah hasil daripada pegangan dan amalan terhadap nilai-nilai unggul seperti yang telah dinyatakan.